Home Berita Semasa Imbas MySejahtera tidak lagi wajib di sekolah, pelitup muka mengikut keadaan

Imbas MySejahtera tidak lagi wajib di sekolah, pelitup muka mengikut keadaan

TIADA lagi imbasan MySejahtera perlu dilakukan warga pendidikan, termasuk pelawat luar, ketika mahu memasuki kawasan sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Jidin berkata, perkara itu merupakan antara pengoperasian institusi di bawah kementerian yang baharu, selaras dengan kelonggaran SOP yang diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, pemakaian pelitup muka masih lagi diwajibkan bagaimanapun ia terpakai di ruangan tertentu termasuk juga pengecualian mengikut keadaan.

“Maknanya, kalau dalam kawasan tertutup di sekolah, bilik darjah, pusat sumber, atau perpustakaan, atau di mana-mana tempat dalam institusi, maka pelitup muka diwajibkan.

“Namun ada pengecualian kepada pemakaian pelitup muka. Mereka yang berada bersendirian di dalam kelas, guru yang sedang mengajar di hadapan kelas atau sedang melakukan aktiviti sukan dan rekreasi, termasuk Pendidikan Jasmani.

“Ini seperti mana kita laksanakan sebelum ini, dan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah serta individu berkeperluan khas, dan individu yang ada masalah pernafasan juga tidak perlu. Ini berdasarkan rekod kesihatan masing-masing,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, sekiranya murid-murid berada di luar bangunan, atau di kawasan terbuka, maka pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, tetapi masih amat digalakkan.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut memaklumkan kelonggaran untuk amalan penjarakan fizikal di dalam kawasan sekolah, atau institusi di bawah kementerian.

“Tidak ada lagi penjarakan fizikal dalam kelas dan dalam kawasan sekolah, namun begitu penjarakan fizikal digalakkan, dalam keadaan murid tak pakai pelitup muka.

“Ini ada impak dalam penyusunan kelas, seperti mana hari ini jarak satu meter, jadi ia memberi kekangan. Maka dengan ketetapan ini, pentadbir sekolah dan guru boleh pilih pendekatan paling baik,” ujarnya lagi.

Exit mobile version