Home Terkini Sempat ‘post’ Instastory di tepi pantai, bakal pengantin lelaki yang sepatutnya nikah...

Sempat ‘post’ Instastory di tepi pantai, bakal pengantin lelaki yang sepatutnya nikah hari ini dikhuatiri lemas

IMPIAN seorang lelaki yang sepatutnya melangsungkan majlis pernikahan hari ini tidak kesampaian apabila dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Kelulut di Marang, Terengganu petang semalam, lapor Oh My Media.

Memetik laporan asal Harian Metro, mangsa Naim Hariri Kamaruddin dari Cheras, Kuala Lumpur datang bersama ahli keluarga untuk diijab kabul dengan Fatin Nabilah Huda Ismail yang sepatutnya berlangsung pagi tadi.

Bapa pengantin perempuan, Ismail Awang berkata, khabar duka itu diberitahu oleh anaknya ketika dia sedang memasang khemah.

“Kami bergegas ke tempat kejadian selepas solat Maghrib dan berjumpa ahli keluarga besan. Kami reda dengan apa yang berlaku dan berharap mangsa segera ditemui,” katanya.

ISMAIL Awang, 61, menunjukkan pelamin dan barang hantaran yang telah disiapkan untuk majlis perkahwinan anaknya Fatin Nabilah Huda, 27, dan mangsa yang dikhuatiri lemas, Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang sepatutnya berlangsung di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung, Terengganu hari ini. – Gambar kredit: Bernama

Tinjauan di laman Facebook mendapati, rakan-rakan mangsa yang berusia 31 tahun itu turut mendoakan agar pencarian Naim dipermudahkan.

Selain itu, difahamkan mangsa sempat memuat naik satu posting di Instastory ketika berada di pantai bersama ahli keluarga sebelum berlaku kejadian tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan hari ini.

Adik bakal pengantin perempuan, Farah Dinie Ismail menunjukkan kad undangan majlis perkahwinan kakaknya, Fatin Nabilah Huda Ismail dengan Naim Hariri Kamaruddin. – Gambar kredit: Astro AWANI

Dalam pada itu, Bernama melaporkan keluarga pihak pengantin perempuan tetap meneruskan kenduri perkahwinan hari ini walaupun bakal pengantin lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian di Pantai D’ Marang Village, Kelulut semalam.

Ismail Awang, 61, berkata, anaknya Fatin Nabilah Huda, 27, dijadual bernikah dengan Naim Hariri Kamaruddin, 31, pada 10 pagi tadi di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung dan kenduri pula diadakan dari pukul 12 tengah hari hingga 4 petang.

“Namun, detik istimewa buat anak saya tidak berjalan seperti dirancang kerana Naim Hariri dikhuatiri lemas semalam. Kami sekeluarga reda dengan takdir yang menimpa namun, kenduri tetap diteruskan hari ini kerana ramai tetamu sudah datang sejak 10 pagi,” katanya ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung di sini.

Tinjauan Bernama mendapati Ismail dan keluarga kelihatan tenang ketika melayan tetamu yang datang menzahirkan simpati sebaik mengetahui tragedi tersebut.

Semua persiapan seperti pelamin dan barang hantaran telah terhias indah malah kenduri perkahwinan itu juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan Covid-19 seperti membuat pemeriksaan suhu badan dan merekod butiran tetamu yang datang melalui aplikasi MySejahtera.

Ismail berkata, mengikut perancangan, setelah majlis pernikahan berlangsung hari ini, kenduri menyambut menantu akan diadakan pihak keluarga lelaki di Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun hadapan.

“Saya sempat berjumpa Naim Hariri ketika dia datang ke rumah untuk melihat persiapan terakhir kenduri pada pagi semalam. Tak sangka pula ini yang berlaku.

“Memang sedih sangat dengan apa yang berlaku kerana terjadi hanya sehari sebelum majlis pernikahan berlangsung. Saya harap anak akan terus kuat semangat dan semoga Naim Hariri dapat ditemukan secepat mungkin,” katanya.

Naim Hariri, yang beralamat di Kuala Lumpur dikhuatiri lemas setelah dipercayai hilang ketika mandi laut di pantai itu petang semalam. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih gagal menemui petunjuk baharu setakat 10 pagi tadi.

Adik Naim Hariri, Siti Nur Atiqah memohon doa daripada semua agar abangnya ditemui segera dalam keadaan selamat.

Sumber: Oh My Media

Exit mobile version