Home Hiburan Kontroversi Tular video ‘salah parking’, Neeta buat laporan polis

Tular video ‘salah parking’, Neeta buat laporan polis

PENYANYI dan pengacara, Neeta bersama syarikat rakamannya, Nar Records Sdn. Bhd. tampil membuat laporan polis terhadap seorang pengamal media berhubung penularan sebuah video TikTok yang dikatakan menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita.

Dalam video berkenaan, memaparkan Neeta Manishaa Manogaran, 27, sedang membetulkan pakaiannya ketika proses rakaman program All Together Now Malaysia dan tertulis satu ayat ‘salah parking’.

Melalui satu kenyataan media hari ini, Ketua Bahagian Pemasaran Nar Record, Becky Zulkepli memberitahu keputusan laporan polis dilakukan kerana video tersebut telah menjatuhkan maruah pelantun lagu Ruang Mimpi itu sebagai seorang wanita.

“Video itu amat memalukan dan menyentuh sensitiviti serta maruah Neeta sebagai wanita. Dengan niat atau tujuan apa individu terbabit masih tidak dapat dipastikan kerana usaha untuk menghubunginya gagal dan tiada sebarang maklum balas diberikan sehingga kini”, jelasnya.

Apa yang lebih mengecewakan, individu itu masih belum memadam video tersebut meskipun isu berkenaan sudah tular dalam media sosial.

Ujarnya lagi, “Dia seolah-olah tidak mengambil peduli langsung dengan kejadian ini. Mungkin bagi sesetengah orang, perkara ini kecil tetapi pihak pengurusan menyelar perbuatan tersebut kerana telah mengundang kecaman dan tomahan orang terhadap anggota tubuh badan serta diri Neeta sendiri”.

Sementara itu, Neeta dalam kenyataan sama mengakui sangat terkilan dengan tindakan individu terbabit.

Neeta berkata, “Terkilan kerana yang melakukannya ialah seorang pengamal media yang tinggi juga jawatannya dalam bidang ini. Tujuan Neeta mengambil keputusan untuk membuat laporan polis atas desakan pengurusan juga bukanlah ingin memperbesarkan isu atau mengadu domba”.

“Laporan polis ini sebagai tanda peringatan terhadap individu itu termasuklah semua netizen agar menggunakan media sosial dengan betul. Bukannya untuk mengecam, memalukan dan membuli. Semua kesalahan ini tertakhluk di bawah Akta 588 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurutnya lagi.

Sumber: Kosmo

Exit mobile version