Home Hiburan Kmy Kmo, Luca Sickta terus buat kejutan, berjaya ‘heret’ Dato’ Jamal Abdillah...

Kmy Kmo, Luca Sickta terus buat kejutan, berjaya ‘heret’ Dato’ Jamal Abdillah ke ‘Neraca’

PENYANYI duo rap yang kian membina nama, Kmy Kmo dan Luca Sickta sekali lagi tampil dengan ‘pencapaian’ luar biasa apabila berjaya ‘mengikat’ penyanyi legenda  Dato’ Jamal Abdillah sebagai gandingan duet mereka.

Bermula sekadar bayangan, Luca Sickta atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin menjelaskan dia dan Kmy Kmo sudah membayangkan penghasilan lagu Neraca untuk dinyanyikan Jamal biarpun belum mendapat sebarang persetujuan.

“Ketika Kmy buat rakaman demo lagu ini, dia menyanyi ala suara Dato’ Jamal. Malah, dari awal lagi memang sudah pasang niat alangkah menarik jika Dato’ Jamal dapat menyanyikan lagu ini. Alhamdulillah, rezeki kami dan Dato’ Jamal bersetuju.

“Awalnya, muzik lain. Tapi, selepas Dato’ Jamal memberikan persetujuan kami terus tukar dan masukkan elemen ghazal. Kami berasakan muzik tradisional ini tidak boleh dilupakan oleh generasi baharu walaupun ia dipersembahkan dalam versi moden. Kalau peminat lama mendengar lagu ini pun, mereka tetap akan mengenali muzik ini.

“Sepanjang proses rakaman, Dato’ Jamal sangat mengalu-alukan kami. Kami menjangkakan dia seorang legenda yang ‘diva’, tapi dengan kami dia okay. Tidak ada langsung rasa kekok, sebaliknya dia sangat mudah bekerjasama, profesional dan merendah diri. Sikap yang ditunjukkan itu tidak membuatkan kami rasa takut dan segan,” kata Luca kepada TheNewsMalaysia.

Luca Sickta & Kmy Kmo berjaya buka hati Dato’ Jamal Abdillah.

Malah dedah Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, melodi lagu Neraca sudah siap beberapa tahun lalu dan ‘diperam’ sehingga mendapat persetujuan Jamal.

“Melodi lagu Neraca ini sudah siap sejak 2018 lagi. Selepas itu kami simpan sebab tunggu masa sesuai untuk disiap dan dilancarkan. Alhamdulillah, pertengahan tahun lalu, kebetulan Datuk Jamal ada kerjasama dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia.

“Dari situ kami ambil peluang menawarkan lagu Neraca ini kepada Dato’ Jamal. Selepas bentang dan perdengarkan melodi lagu ini, dia terus kata okay dan bersetuju. Jadi, proses rakaman dibuat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ambil masa tidak sampai sejam.

“Ketika proses rakaman, dia tanya boleh tidak jika mahu buat impovisasi pada nyanyian. Mendengarkan pertanyaan itu, kami sebenarnya lebih suka. Jadi, dia buat adlib dan lenggok tersendiri. Sekali dengar lagu ini pun sudah tahu itu suara Dato’ Jamal. Cara itu mengingatkan kami kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza ketika rakaman 7 Nasihat yang mana turut bertanya perkara sama,” jelas Kmy.

Luca & Kmy sudah siapkan senarai penyanyi yang mereka idamakan untuk berkolaborasi.

Dalam pada itu, duo ini menjelaskan mereka sudah membuat perancangan untuk berkolaborasi dengan beberapa nama besar termasuklah legenda muzik rock.

“Kami sudah menunggu lama peluang sebegini. Kami dari zaman sekolah lagi sudah menghasilkan muzik. Sejak itu kami bercita-cita nak bekerjasama dengan penyanyi legenda. Diakui kami memang ada senarai nama penyanyi-penyanyi itu. 

“Bukan nak bekerjasama dengan penyanyi legenda yang bergelar Dato’ saja, tapi ia lebih kepada ingin merealisasikan impian. Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda. Setakat ini kami sudah selesai dengan genre yang diwakili setiap legenda itu. Tinggal lagi genre rock pula.

“Insya Allah, selepas itu baru kami ke senarai penyanyi ‘A list’ pula. Kami sudah ada lagu dan senarai nama penyanyi. Dalam masa sama, kami juga akan buat projek bersama penyanyi baharu yang mempunyai bakat dan vokal bagus,” katanya.

Neraca sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasmi akan mula ditayangkan pada pukul 9 malam 19 Februari.