Home Berita Semasa Nak jumpa kawan, lelaki nekad berenang rentas Selat Pulau Pinang

Nak jumpa kawan, lelaki nekad berenang rentas Selat Pulau Pinang

SEORANG lelaki bertindak nekad berenang merentasi Selat Pulau Pinang hanya kerana ingin bertemu kawan di Seberang Perai.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, perbuatan itu dilakukan selepas lelaki berusia 28 tahun itu gagal mendapat kelulusan polis bagi tujuan rentas daerah.

Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian apabila lelaki berkenaan berpatah balik akibat keletihan dalam kejadian pada jam 6 petang Isnin lalu.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki berkenaan, sebaliknya dia hanya menyatakan butiran peribadi seperti nama dan nombor kad pengenalan secara lisan sahaja.

“Semakan dibuat mendapati lelaki itu berasal dari Bayan Lepas Pulau Pinang dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Polis turut menghubungi ibu kepada lelaki berkenaan sebelum polis dimaklumkan bahawa individu itu sudah lama tidak pulang.

Hasil siasatan, lelaki berkenaan merupakan gelandangan yang mempunyai ketagihan dadah.

Dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu mengalami patah tangan kanan.

Siasatan bagaimanapun akan dijalankan sebaik sahaja lelaki tersebut selesai menjalani rawatan.

Baru-baru ini insiden itu tular di media sosial menyaksikan seorang lelaki terjun
dari feri kerana tidak dibenarkan menaiki feri disebabkan tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri.

Keadaannya yang dalam keletihan dan terapung disedari pekerja Penang Port Sdn Bhd sebelum dia diselamatkan.

Exit mobile version