Home Berita Semasa Inspektor Dan Sarjan Polis Cedera Ditetak Lelaki Disyaki Kurang Siuman

Inspektor Dan Sarjan Polis Cedera Ditetak Lelaki Disyaki Kurang Siuman

Foto : MY TV Online

Dua anggota polis cedera selepas ditetak lelaki disyaki kurang siuman di sebuah rumah di Taman Jaya Diri, Manggatal, di Kota Kinabalu semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, inspektor polis dan sarjan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu cedera di kepala, lengan dan bahu kanan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan orang awam lelaki mengamuk di rumahnya dan bersenjatakan pisau pemotong daging.

Katanya, suspek berusia 42 tahun turut mengurung ibu dan kakaknya di dalam rumah selain, mengasari kakaknya.

“Susulan itu sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi dan sebaik tiba, suspek dipujuk untuk menyerah diri.

“Lelaki itu enggan dan hanya bersetuju membebaskan kakaknya sebelum mengunci diri di dalam bilik bersama ibunya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, selepas dua jam tiada tanda suspek mahu menyerah diri, pasukan kemudian memecahkan pintu bilik dan melakukan serbuan sebelum menyelamatkan mangsa.

“Pada masa sama, suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan.

“Dia menetak pegawai dan anggota menyebabkan mereka cedera di lengan, kepala dan bahu kanan, manakala suspek hanya cedera ringan di muka.

“Polis yang cedera kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE),” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek adalah bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang dan dia kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sumber : Harian Metro