Home Berita Semasa Bakar Mercun Tengah Jalan, Pembantu Bengkel Diberkas

Bakar Mercun Tengah Jalan, Pembantu Bengkel Diberkas

Seorang lelaki dipercayai membakar mercun di tengah jalan ketika menyertai perarakan mengiringi upacara pengebumian dekat pekan Banting berjaya ditahan pihak polis.

Video lelaki tersebut tular di media sosial sejak Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh, pihak polis menerima aduan daripada orang awam kira-kira jam 2.28 petang.

“Polis terima makluman berkaitan terdapat perarakan di lokasi kejadian selain tindakan membakar mercun di tengah persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Polis kemudiannya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 bagi siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Suspek yang bekerja sebagai pembantu bengkel berjaya ditahan di sekitar Banting pada jam 3.30 petang.

“Suspek berumur 28 tahun dan bekerja sebagai pembantu bengkel ditahan sekitar jam 3.30 petang di sekitar kawasan Banting, Kuala Langat.

“Semakan mendapati suspek memiliki tujuh rekod lampau berkait jenayah dan dadah selain ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudiannya dikenakan tindakan saman berkait kesalahan lalu lintas.

“Selain itu, polis turut membuka dua kertas siasatan atas kesalahan narkotik di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesalahan trafik di bawah Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis juga giat mengesan dua lagi individu dipercayai turut terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

 

 

Exit mobile version