Warga Twitter kagum Anwar Ibrahim ‘steady’ layan ‘meme’ perli jawatan Perdana Menteri

LAMAN sosial Twitter kecoh apabila Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim memberi respons kepada satu ‘meme’ yang mempersenda beliau untuk menjawat jawatan Perdana Menteri (PM).

Melalui ciapan yang ditulis oleh seorang pengguna @farhunt_ibrahim, dia menulis sebuah perbualan jenaka dimana Tun Mahathir bertanya kepada Anwar Ibrahim sama ada beliau pernah menjadi PM atau tidak.

Dalam perbualan ‘troll’ tersebut Anwar Ibrahim berkata “belum” dan Tun Mahathir membalas bahawa diri beliau sudah dua kali menjadi PM.

Namun, apa yang menarik adalah reaksi Anwar Ibrahim yang santai membalas ciapan pengguna berkenaan dengan ’emoji’ muka neutral.

Rata-rata netizen, tertarik dengan balasan Anwar Ibrahim dan ramai yang mengatakan beliau masih mantap dalam segala hal walaupun sudah kerap ‘dibahan’ di media sosial.

Walau bagaimanapun, ada juga yang menjelaskan bahawa gurauan tersebut sebenarnya ingin memerli Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru-baru ini diwawancara di Bicara Khas bersama YAB Perdana Menteri di televisyen.

Dalam video berkenaan menunjukkan Tan Sri Muhyiddin bertanya kepada pengacara adakah mereka sudah divaksin sebanyak dua kali memandangkan beliau diberitahu bahawa hampir 1 juta rakyat dinegara ini sudah diberi suntikan vaksin sebanyak “dua kali”.

Walaupun tiada kena mengena di antara vaksin dan jawatan perdana menteri, tetapi disebabkan perkataan “dua kali”, Presiden PKR tersebut telah dijadikan bahan jenaka rakyat utamanya di media sosial berkenaan.