Viral video jiran bergaduh sebab pasu bunga & parkir kenderaan, polis sahkan kedua-dua pihak dah berdamai

TULAR di media sosial berhubung insiden pergaduhan yang dipercayai berpunca akibat salah faham melibatkan kawasan parkir dan tanaman di kawasan perumahan Seksyen 24, Shah Alam pada jam 3 petang Jumaat lalu. 

Kejadian itu menyaksikan pertelingkahan sekumpulan lelaki dan wanita yang masing-masing juga merupakan jiran di kawasan tersebut. 

Menurut perkongsian orang ramai, kejadian tercetus apabila sekumpulan wanita berkenaan bertindak cuba menanam pokok di kawasan jiran mereka. 

Ini termasuk isu parkir kenderaan yang dikatakan memasuki kawasan kejiranan sehingga mencetuskan kemarahan pihak tuan rumah. 

Menerusi video tular tersebut, berlaku insiden pertelingkahan yang agresif termasuk tolak menolak dan membaling pasu bunga antara satu sama lain. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan kejadian tersebut. 

Difahamkan, lokasi kejadian merupakan kawasan awam. 

“Kesemua yang terlibat telah dipanggil untuk dirakam keterangan mereka. 

“Kedua-dua pihak telah setuju untuk berdamai dan telah tarik semula laporan polis yang dibuat. 

“Polis bagaimanapun akan teruskan siasatan secara adil meskipun kedua-dua pihak telah tarik semula laporan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya lagi, siasatan juga akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. 

Kejadian yang tular di Facebook berdurasi 4 minit 4 saat itu telah mengundang pelbagai spekulasi orang ramai menerusi ruangan komen di laman sosial berkenaan.