Tular anjur majlis perkahwinan ketika PKP, polis jalankan siasatan

POLIS telah memanggil seorang wanita bagi membantu siasatan kes tular menganjurkan majlis perkahwinan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 27 Julai lalu di sebuah bangunan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Saralathan Duraisamy berkata, kejadian itu tular menerusi gambar majlis yang tular menerusi aplikasi Instagram.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati, terdapat individu yang berkumpul tanpa sebarang penjarakan sosial.

“Penganjur telah menyewa dewan tersebut daripada sebuah syarikat pengurus perkahwinan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Saralathan, siasatan polis akan menjurus kepada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Difahamkan, wanita berkenaan yang dipanggil merupakan pengurus lokasi majlis dan polis akan turut memanggil kesemua individu yang terlibat dalam majlis tersebut.

Kes disiasat mengikut Akta 342 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.