Terima nota pelik jiran suruh tutup WiFi

“HELLO! Saya jiran kamu dari unit 301 yang tinggal di aras bawah. Isteri saya hamil dan bimbang dengan bahaya radiasi daripada sambungan Internet menerusi jaringan tanpa wayar (WiFi).

“Tolong matikan WiFi kamu jika tiada di rumah dan ketika tidur! Diharap kamu memberi kerjasama.”

Demikian permintaan seorang lelaki di Qingdao, China kepada jirannya yang diluahkan menerusi satu nota, lapor Harian Metro.

Memetik laporan asal portal Mothership, lelaki itu bertindak sebegitu kerana mahu melindungi isterinya yang hamil daripada apa yang dianggap sebagai bahaya radiasi kepada bayi di dalam kandungan.

Malangnya, permintaannya itu tidak dilayan sebaliknya jirannya membalas dengan sarkastik dan turut mencadangkan lelaki terbabit supaya berpindah.

“Hi pak cik, saya perlu menghadiri kelas secara dalam talian pada siang hari, manakala bapa saya bekerja sebelah malam.

“Kami tidak dapat menutup sambungan WiFi di rumah.

“Jadi, kamu boleh berpindah dari sini, bila-bila masa,” demikian balasan diterima lelaki berkenaan daripada jirannya.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas tular di laman sosial dan rata-ratanya terhibur dengan tindakan berani lelaki terbabit serta jawapan balas diterima daripada jirannya.

Sementara itu, seorang profesor biokejuruteraan dari University of Pennsylvania berkata, tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan adanya kesan negatif WiFi terhadap kesihatan.

Beliau berkata, ia memandangkan tahap gelombang radio WiFi yang di bawah had yang selamat.

Sumber: Harian Metro