Syafiq Ahmad sebak diziarahi Ebit Lew – “Bagaimana nak bantu emak masuk syurga?”

PENCERAMAH terkenal, Ustaz Ebit Lew meluangkan masa menziarahi pemain skuad Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad dan isterinya yang terlibat kemalangan baru-baru ini, lapor Kosmo!

Perkara itu dikongsikan Ebit Lew menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya selain menyifatkan tidak mampu menahan sebak ketika bertemu kedua-dua mereka.

Dalam statusnya, Ebit menyatakan dia berasa begitu sayu ketika menziarahi Syafiq serta tidak dapat menahan tangis atas dugaan yang dihadapi anak muda terbabit.

“Amalina (isteri) masih belum boleh bangun. Tadi bercerita ujian kerana kasih sayang Allah. Insya-Allah anak menanti dalam syurga. Buat ibu yang baik, semoga Allah ampunkan dosa beliau dan hadiahkan syurga Firdaus.

“(Saya) sayu dengar soalan Syafiq dan Amalina. Bagaimana nak bantu emak masuk syurga. Nak hadiahkan amalan buat arwah emak. Banyak soalan dan luahan hati mereka,” katanya.

Pada kejadian 6 Disember lepas, anak Syafiq,  Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari dan ibu mentuanya, Zainab Wahab, 46, maut bersama pembantu rumah, Titik Sukamti, 30, selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dipandu Syafiq terbabas di Kilometer 163 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jawi, Nibong tebal, Pulau Pinang.

Bagaimanapun Syafiq, 25; isterinya, Nur Amalina Norain, 25; bersama anak perempuan sulung mereka, Aaira Nur Saffiyya, 2, hanya cedera ringan.

Sumber: Kosmo!