SEBELUM ini, umum mengetahui bahawa persidangan parlimen telah ditangguhkan atas faktor perundangan, sains serta data pandemik Covid 19. Selain daripada tidak mahu merisikokan ahli parlimen yang majoriti boleh dikategorikan sebagai kumpulan berisiko dijangkiti.
Walau bagaimanapun, selepas vaksin tiba dan sudah diedar kepada beberapa pihak. Ada segelintir pihak yang menyuarakan bahawa parlimen perlu bersidang segere bagi menyelesaikan permasalahan negara terutama selepas wakil rakyat diberikan suntikan vaksin Covid 19 terlebih dahulu.
Sehubungan itu, pada 30 April kira-kira 100 orang berbuka puasa di depan pintu masuk bangunan Parlimen hari ini dalam acara anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat bagi menuntut kerajaan melaksanakan enam perkara. Lokasi itu dilihat bertepatan dengan salah satu tuntutan tersebut, iaitu agar sidang Parlimen kembali diadakan dan satu demonstrasi #EnamTuntutan telah dilakukan di hadapan bangunan parlimen.
Namun, apa yang mencuit hati apabila nama selebriri terkenal Amerika, Steve Aoki juga trending secara tiba-tiba kerana terpalit sama dalam demonstrasi tersebut.
Menurut salah satu perkongsian yang diulang ciap oleh pengguna Twitter @pudseposen menulis, “Punya teruk Kerajaan Malaysia sampai Steve Aoki pun turun padang nak tuntut parlimen dibuka”.
Perkongsian video asal yang dimuat naik oleh @t_leeken menunjukkan dirinya sedang menerangkan situasi semasa di hadapan bangunan parlimen dan aktiviti yang akan dilakukan bagi menyuarakan tujuan demonstrasi tersebut telah mendapat perhatian kerana raut wajahnya yang dikatakan persis seperti DJ popular Steve Aoki.
Menjengah di ruangan komen, ramai warganet bersetuju dengan ciapan yang ditulis oleh @pudseposen dan ada juga yang bergurau dengan mengatakan ‘Steve Aoki’ kelihatan lebih kurus kerana berpuasa.