‘Siapa nama? Askar… Saya tanya nama, bukan kerja apa…’

- Gambar kredit: Harian Metro

SAYA tanya nama, bukan kerja apa.’ Itulah yang sering terjadi kepada Askar Ibrahim, bekas anggota tentera setiap kali menjawab pertanyaan orang ramai siapa namanya, lapor Harian Metro.

Askar, 46, yang berasal dari Sabah berkata, keunikan namanya menyebabkan ramai yang keliru mengenai nama dan pekerjaannya sama ada ketika masih anggota atau kini sebagai pesara tentera.

Katanya, nama terbabit diberikan bapanya, Ibrahim Basinau yang juga bekas anggota polis, bagaimanapun dia tidak pernah bertanya kenapa bapanya memberikan namanya Askar.

“Bagi saya mungkin jiwanya yang cintakan keamanan dan keselamatan negara menjadikan Allahyarham menamakan saya sebagai Askar.

“Apapun, saya bersyukur kerana nama berkenaan menjadi lambang keberanian dan keutuhan pejuang negara di medan perjuangan terutama ketika negara dibelenggu ancaman komunis,” katanya yang menetap di Sungai Udang, Melaka kepada Harian Metro.

Askar berkata, pelbagai peristiwa lucu dan mengelirukan sepanjang dia bertugas sebagai tentera termasuk rakan yang kerap bertanya berulang-kali betulkah namanya sedemikian.

Baginya, memang penat untuk menjelaskan perkara terbabit, namun ia perlu dilakukan bagi mengelak kekeliruan.

Sumber: Harian Metro