Seram! Gadis ini kongsi kisah misteri rakan diganggu makhluk halus gara-gara beli baju ‘bundle’!

SEORANG pengguna laman Twitter, @billiesya atau Tuan Nur Aisyah mendedahkan sebuah kisah misteri mengenai sahabatnya, Aziatul yang juga merupakan penggemar baju terpakai ataupun baju ‘bundle’.

Namun, setelah membeli sehelai baju di sebuah kedai pakaian terpakai dia sering diganggu oleh makhluk halus dan mengalami mimpi yang ngeri.

Menurut Aisyah, ketika hari kejadian dia tidak menemani kawannya untuk membeli pakaian tetapi setelah bercerita masalah mengenai mimpi bahawa ada yang datang menuntut barangnya semula, barulah Aisyah tahu.

Difahamkan, baju ‘berhantu’ tersebut dibeli di sebuah kedai di Raub dan Aziatul telah diganggu setiap hari selama seminggu sehingga membuatnya serik dan mengambil keputusan untuk bertemu dengan seorang ustaz.

Ustaz tersebut bertanya sama ada dia ada mengambil atau membeli barang di kedai pelik dan dari situ ustaz tersebut menasihati mereka untuk bersama-sama berjumpa dengan pemilik kedai tersebut.

Pada awal mereka berjumpa pemilik kedai, tidak ada sebarang pengakuan yang dibuat sehingga ustaz berkenaan cuba bertanya secara baik, barulah pemilik tersebut menceritakan hal sebenar.

Ternyata, baju dibeli Aziatul adalah baju yang diambil dari orang yang meninggal gara-gara kemalangan motosikal dan antara nasihat yang diberikan adalah jika mereka mengenali empunya barang sebaiknya pulangkan semula.

Aziatul telah dirawat selama seminggu dan sejak dari kejadian itu dia tidak mahu membeli baju terpakai lagi.