Selebriti kosmetik disiasat, video tular berkumpul makan durian

Food photo created by jcomp - www.freepik.com

POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap seorang selebriti kosmetik berhubung video tular ketika menikmati durian secara berkumpulan di rumah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, insiden itu berlaku pada 30 Julai menerusi tangkap layar yang tular.

“Selebriti kosmetik itu sedang bersiaran secara langsung di media sosial menikmati buah durian bersama beberapa individu.

“Tangkap layar telah tular dikongsi lebih 4,000 pengguna media sosial selain turut memetik nama PDRM untuk mengambil tindakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, polis telah menerima satu laporan berhubung insiden tular itu hari ini pada jam 4 petang.

Menurut pihak polis, selebriti terkenal itu juga mempunyai pengikut yang ramai di media sosial.

Penularan tangkap layar itu telah mengundang pelbagai spekulasi masyarakat kerana perbuatan itu telah melanggar SOP PKP.

Siasatan akan dibuat mengikut 17 (1) Peraturan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia.