Sambal Nyet laris terjual, Khairul Aming derma RM10,000 ke tabung amal Palestin

SELEBRITI media sosial, Khairul Aming baru sahaja membuatkan netizen terharu dengan perkongsian yang dimuat naik melalui ciapan terbaharunya di laman Twitter. Bukan sahaja mengenai ‘update‘ terbaru mengenai produk makanan keluaran jenamanya sendiri iaitu Sambal Nyet, namun satu usahanya yang membuatkan ramai pihak kagum.

Dalam perkongsian tersebut, dia menjelaskan sebahagian daripada keuntungan hasil jualan Sambal Nyet juga akan didermakan ke dalam tabung amal Palestin.

Umum kita ketahui bahawa Sambal Nyet Khairulaming sangat popular dan laris terjual di platform Shopee. Sebelum ini, jenama sambal keluarannya juga ‘sold out’ hanya dalam masa beberapa saat sahaja semasa promosi “5.5”.

“Jualan Sambal Nyet akan kembali seperti biasa dan RM10,000 untung jualan Sambal Nyet sebelum ini akan kami dermakan ke tabung amal Palestin”, katanya.

Jelasnya lagi di ruangan kapsyen ciapan, “…diharap sumbangan ini dapat meringankan beban saudara kita di sana”.

Khairulaming menyatakan bahawa sebanyak RM10,000 telah didermakan ke akaun Tabung Cinta Gaza Malaysia. Dalam pada itu, Khairulaming juga mengalu-alukan pengikutnya serta orang ramai untuk turut serta menderma mengikut kemampuan masing-masing.

Rezeki itu bukan milik kita seorang sahaja kerana rezeki mesti dikongsikan bersama. Sehubungan itu, Khairulaming merupakan salah seorang personaliti media sosial yang wajar kita contohi. Semoga perniagaan Sambal Nyet Khairulaming terus maju dan segala urusan beliau dan pasukannya sentiasa dipermudahkan.