Rezeki makcik tukang cuci, terima gelang emas selepas terpaksa diberhentikan kerja

SEORANG wanita yang bertugas sebagai tukang cuci pastinya tidak menyangka menerima seutas gelang tangan emas daripada kakitangan sebuah syarikat pada hari terakhirnya berkhidmat.

Melalui perkongsian seorang pengguna Twitter iaitu @IzwanSajjer, dia menjelaskan wanita yang dipanggil Kak Jati itu berkhidmat selama beberapa tahun menjaga kebersihan di syarikat terbabit dan dikenali dengan sifatnya yang cukup peramah, lapor Sinar Harian.

Tulis @IzwanSajjer, syarikat itu akan berpindah ke Kuala Lumpur dan terpaksa menamatkan kontrak perkhidmatan tukang cuci.

“Bertahun beliau menjaga kebersihan syarikat dan sentiasa peramah bila diajak berbual…

“Jadi, rakan pejabat semua sepakat untuk menghadiahkan seutas rantai tangan emas untuk membalas jasanya,” ciapnya di Twitter sehingga menarik perhatian netizen dan tular.

Kak Jati sebak terima rantai emas.

Jelasnya, tiada yang lebih penting daripada perpaduan dalam masyarakat walaupun berbeza bangsa dan negara.

“Walaupun berbeza bangsa dan negara, saling hormat-menghormati adalah penting untuk mengekalkan perpaduan.

“Terima kasih kepada semua rakan pejabat yang menyumbang dan semoga kita ketemu lagi, Kak Jati,” katanya ringkas.

Cicipan yang tular di laman Twitter.

Difahamkan, wanita berkenaan akan ditempatkan semula ke agensinya sebelum bertugas di tempat baharu.

Perkongsian @IzwanSajjer membuka mata orang ramai mengenai nilai kemanusiaan yang dilihat tanpa membezakan pangkat atau darjat.

Rata-rata warganet terharu dengan usaha murni @IzwanSajjer dan rakan-rakannya serta menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang menggembirakan.

Pengguna laman Twitter turut mendoakan pekerja syarikat itu dimurahkan rezeki kerana membahagiakan insan lain.

Ciapan dimuat naik pada 25 Mac lalu telah meraih 11,000 tanda suka dan lebih 5,300 ulang ciap.

Sumber: Sinar Harian