Rakyat Malaysia lancar #KempenBenderaPutih, inisiatif bantu individu dalam kesusahan

TIDAK dinafikan, kebelakangan ini ramai antara kita meluahkan rasa gusar dan tertekan dengan keadaan semasa yang semakin menekan.

Ramai yang terjejas sumber pendapatan, pekerjaan dan tidak kurang juga yang terpaksa mengikat perut bagi meneruskan kehidupan dikala pandemik Covid-19 yang menjadi melanda.

Namun begitu, biarpun sedang bergelut dalam kesusahan, tidak ramai yang berani untuk tampil ke hadapan dan mengaku bahawa mereka dalam keadaan yang amat memerlukan bantuan.

Malah, ada yang lebih selesa memilih untuk mendiamkan diri dan merana menahan perit kerana ‘malu’ untuk meminta pertolongan selain berharap dengan bantuan yang diberikan kerajaan.

Terbaru, tular satu kempen yang dilancarkan oleh rakyat Malaysia di media sosial yang dikenali sebagai #KempenBenderaPutih yang meminta orang ramai atau mana-mana individu yang kesusahan untuk menaikkan bendera putih bagi memaklumkan kepada pihak lain secara umum bahawa mereka memerlukan pertolongan.

Melalui gambar kempen yang dikongsikan melalui media sosial, rakyat yang susah tidak perlu berasa malu dan perlu elak daripada melakukan perkara yang boleh merugikan diri sendiri dan keluarga.

Sehubungan itu, ramai pengguna di media sosial utamanya di Twitter dan Instagram yang menyokong penuh kempen ini dan menyifatkan ia merupakan satu inisiatif terbaik bagi membantu mereka yang dalam kesusahan.

Apa pun, kepada anda di luar sana, jangan pernah berasa malu untuk meminta pertolongan sehingga melakukan perkara yang tidak bermanfaat kerana masih ada lagi individu yang akan membantu anda semampu mereka.

Ingatlah, ini bukan pengakhiran, jangan pernah mengalah.

Sumber: Astro Awani