Pukul ejen cari jodoh, bayar RM2,500 tetapi tak dapat calon

AKIBAT tidak mendapat calon pasangan, seorang penjawat awam bertindak membelasah pegawai khidmat pelanggan wanita yang merupakan ejen mencari jodoh.

Insiden itu tular sejak Selasa lalu menyaksikan rakaman video berdurasi 2 minit 19 saat yang memaparkan aksi kurang menyenangkan itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek berusia 35 tahun itu bertindak menuju ke pejabat mangsa sebelum memulakan serangan.

“Berdasarkan rakaman itu, ketika di dalam lif, suspek memukul pengadu berkali-kali dengan menggunakan tangan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala.

“Mangsa yang mengalami pendarahan di kepala kini ditempatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi video tular itu, mangsa dikatakan dipukul berkali-kali dengan menggunakan tangan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala.

Mangsa yang mengalami pendarahan di kepala dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (H-C-T-M), Cheras untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat salah faham antara pengadu dan suspek.

Ini selepas suspek membayar RM2,500 untuk mendapatkan pasangan melalui laman cari jodoh bagaimanapun tiada sebarang kenalan yang diperoleh dalam tempoh enam bulan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.