Polis teliti fakta pelanggaran SOP pesta air di Ipoh

POLIS sedang meneliti fakta berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 membabitkan sebuah taman tema di Tambun, Ipoh.

Beberapa video juga tular memaparkan aktiviti riadah air sekumpulan pengunjung sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, individu yang terbabit sedang dikenal pasti bagi menentukan sama ada berlaku ketidakpatuhan SOP oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, semakan polis dengan pihak pengurusan taman tema terbabit mendapati kejadian yang dipaparkan dalam video berkenaan berlaku pada Sabtu lalu antara jam 1 tengah hari hingga 6 petang, lapor Harian Metro.

Katanya, pihaknya turut difahamkan oleh pengurusan taman tema berkenaan bahawa kapasiti kolam air yang terpapar menerusi video itu boleh memuatkan sehingga 500 individu pada sesuatu masa.

“Mereka turut memaklumkan bahawa ketika kejadian kapasiti pengunjung di kolam itu tidak melebihi 50 peratus.

“Polis sedang diteliti fakta berhubung pelanggaran SOP membabitkan mana-mana pihak dalam kejadian itu dan individu yang terbabit juga sedang dikenal pasti,” katanya kepada Harian Metro.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan dijalankan.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan sekumpulan individu yang melakukan riadah air di sebuah taman tema dalam keadaan seakan-akan sedang menyertai pesta air disulami alunan muzik selain memperlihatkan sebahagian daripada mereka sedang menari.

Sumber: Harian Metro