Home Viral Polis tahan 7 lelaki kepung dan maki anggota URB, netizen bersorak ‘abang...

Polis tahan 7 lelaki kepung dan maki anggota URB, netizen bersorak ‘abang botak’ masuk ‘dalam’

POLIS Pulau Pinang hari ini menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu mengepung dan menghalang tugas polis, semalam.

Kejadian itu berlaku dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki, di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, kumpulan lelaki itu dikatakan turut membuat provokasi dan memaki hamun tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang didakwa kononnya menendang motosikal dinaiki dua lelaki terbabit.

Netizen mula menularkan imej suspek semasa ditahan. Sumber: facebook

Tindakan semua suspek turut menjadi tular di media sosial, malah menerima kecaman warganet kerana bertindak sedemikian terhadap penjawat awam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais ketika dihubungi Bernama malam ini, mengesahkan penahanan tujuh lelaki berusia antara 20 dan 40 tahun itu di sekitar daerah Timur Laut, sejak jam 8 pagi hingga 6 petang tadi.

“Semua suspek akan direman esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 506 Kanun kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong menafikan tiga anggota URB bertindak menendang motosikal dinaiki dua lelaki terbabit sehingga menyebabkan mereka terbabit dalam kemalangan.

Katanya, anggota URB yang sedang membuat rondaan terserempak dengan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki tanpa memakai topi keledar lalu mengarahkan mereka berhenti bagi membuat pemeriksaan.

Namun, penunggang motosikal itu terus memecut laju melarikan diri sebelum berlanggar dengan sebuah kenderaan lain di persimpangan berkenaan tersebut

Sumber: berita harian

Exit mobile version