Polis peronda bantu hantar anak dikendong bapa ini, netizen puji semangat cekal harungi kehidupan

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa. Seorang lelaki nekad menempuh perjalanan hampir tiga jam dari Batu Gajah, Perak ke Kuala Lumpur dengan menunggang motosikal bersama seorang anaknya.

Lebih memilukan, anaknya itu dikendong dengan ikatan kain pelikat bagi tujuan keselamatan, lapor Sinar Harian.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kemas kini di laman rasmi Facebook, bapa dan anak berusia sembilan tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Flat Selayang, Jalan Chow Kit 4, Kuala Lumpur selepas pulang beraya di kampung.

Menurut kenyataan itu, dua beranak itu ditahan polis peronda yang melaksanakan penugasan rondaan di Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) sekitar jam 4 petang, Sabtu di Rawang.

“Koperal Mohamad Fitdros Saman bersama Koperal Nazruddin Syazwan Mat Nanyan telah ternampak seorang penunggang motosikal dalam keadaan mengendong anak dengan ikatan kain pelikat di tubuh badan kanak-kanak tersebut di KM435.1 (arah selatan).

“Melihat situasi tersebut, mereka telah berhenti dan bertanyakan apa yang boleh dibantu dan semakan mendapati kanak-kanak lelaki yang dikendong itu adalah anak kandungnya berumur sembilan tahun,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, anggota peronda berkenaan menjelaskan tindakan yang dilakukan oleh si bapa berbahaya dan mendatangkan risiko.

“Atas faktor keselamatan, mereka menghubungi Pegawai Turus Lebuhraya Zon Tengah A bagi membawa dan menghantar kanak-kanak lelaki tersebut sambil diiringi ayahnya ke kediaman mereka.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menasihatkan pengguna lebuh raya lebih peka dengan soal keselamatan dan berhati-hati semasa pemanduan di musim perayaan,” kata kenyataan itu.

Perkongsian tersebut mendapat pujian daripada pengguna laman sosial yang meninggalkan komen pada perkongsian tersebut.

Sumber: Sinar Harian