Pernah ‘update’ status tentang kematian sebelum diperkosa dan dibunuh – “Diri dipinang malaikat maut”

SEORANG gadis berasal dari Asahan, Sumatera Utara, Indonesia, Lisa Sirait yang dilaporkan mati dibunuh dalam satu kejadian rogol di Klang, Selangor, Malaysia pada 23 Disember lalu pernah memuat naik status mengenai kematian, lapor Utusan Malaysia.

Memetik laporan asal portal Tribunnews, ibunya, Sri Dewi, 47, memberitahu anak kelimanya itu tidak pernah lupa untuk menghubunginya setiap hari.

Namun, pada hari kejadian, Sri tidak mendapat panggilan dari Lisa dan dia mula berasa tidak sedap hati sehingga diberitahu mengenai kejadian yang menimpa gadis berusia 14 tahun itu.

Sri beritahu Lisa pergi ke Malaysia untuk mengikut kakaknya, Dinda Sirait yang bekerja di sana.

“Sebelum kematiannya, Lisa ada memuat naik status dalam media sosial menyatakan dirinya akan ‘dipinang malaikat maut’.

“Saya amat sedih dengan kejadian yang berlaku kerana Lisa merupakan anak yang baik, periang dan disenangi ramai,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Menurut seorang rakan Lisa, Mariadi, suspek yang merupakan lelaki warga Aceh sempat mengunci pintu bilik gadis itu selepas membunuhnya dan melarikan diri.

Kejadian itu berlaku ketika Lisa enggan mengikut kakaknya pergi membeli makanan dan memaklumkan dia hanya berehat di dalam bilik sebelum ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah.

Suspek kini sudah ditahan polis untuk disoal siasatan berhubung kejadian itu.

Sumber: Utusan Malaysia