Viral gara-gara suara comel ketika jual apam balik dengan van putih, pemilik suara akhirnya dedah cerita sebenar

    COMELNYA! Begitulah antara reaksi netizen yang menonton klip video viral di media sosial sejak awal minggu ini yang menunjukkan sebuah van putih sedang bergerak perlahan di sebuah kawasan perumahan.

    “Saya jual apam balik, roti kukus, apam balik coklat, apam balik Milo, ekstra jagung kacang…” kedengaran dari pembesar suara yang dipasang pada van tersebut.

    Nada suara seorang lelaki yang begitu sopan dan lemah-lembut itu ternyata menambat hati ramai.

    ABDUL HADI di depan van bergeraknya, Apam Balik Jalanan yang viral di media sosial minggu ini. Gambar kredit: mStar

    Pemilik suara ‘comel’ berkenaan, Abdul Hadi Abdullah berkata, dia juga merupakan penjual apam balik yang memandu van tersebut di kawasan sekitar Meru di Klang, Selangor.

    Pemuda berusia 25 tahun itu memberitahu, dia sebenarnya telah lama berkecimpung dalam bisnes apam balik iaitu sejak umurnya 15 tahun.

    “Masa mula-mula tu saya hanya bekerja dengan penjual apam balik di pasar malam untuk dapatkan duit poket semasa belajar.

    “Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya tak sambung pengajian kerana minat berniaga. Saya buka gerai apam balik sendiri di pasar malam,” katanya kepada mStar.

    ANTARA apam balik yang dijual Abdul Hadi.

    Abdul Hadi berkata, van tersebut digunakan untuk mencari rezeki sejak hari pertama Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ia diperluaskan ke seluruh Selangor, termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan peningkatan kes Covid-19.

    “Sebelum PKPB, saya jual apam balik di gerai dan di pasar malam. Tapi disebabkan PKPB dan kes Covid-19, jadi ramai takut nak keluar rumah.

    “Rakan saya mencadangkan supaya saya guna van untuk jual apam balik secara mudah alih. Dia kata kenapa nak tunggu orang datang kalau kita boleh cari orang untuk beli,” ujarnya yang juga berasal dari Klang.

    APAM Balik Jalanan yang diusahakan Abdul Hadi mendapat sambutan luar biasa pelanggan.

    Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, dia tidak menyangka rakaman suaranya yang dimainkan sepanjang berniaga menggunakan van tersebut meraih perhatian.

    “Itu memang suara saya, tapi saya tak rasa comel pun lebih-lebih lagi saya ni peminat lagu-lagu rock dan heavy metal seperti Metallica, Iron Maiden, Cromox, FTG, Wings dan Search.

    “Terima kasih kerana memuji. Saya okay saja orang nak kata apa. Saya pernah ditertawakan oleh budak-budak yang sedang bermain di kawasan yang saya lalu untuk menjual.

    “Mungkin budak-budak tu ketawa sebab kelakar agaknya. Tapi tak apa sebab ramai selesa datang membeli dengan saya,” katanya.

    Bagaimanapun, Abdul Hadi yang baru berkahwin pada Jun lalu tidak mahu terus berasa selesa dan dia mahu terus mempertingkatkan usaha untuk mencari rezeki.

    “Saya berniaga dari pagi hingga petang. Pagi-pagi saya masak siap-siap dan letak dalam bekas gabus untuk tahan panas. Tengah hari saya balik semula ke rumah untuk bekalan apam balik di sebelah petang.

    “Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan walaupun PKPB. Paling saya terharu apabila ada pelanggan terkejar-kejar dari belakang sebab saya dah memandu jauh.

    “Ada juga pemandu kereta tahan van saya ketika keluar simpang. Dia sebenarnya nak beli apam balik. Kalau tak tahan, dia terpaksa tunggu esok lusa untuk saya lalu di jalan yang sama,” katanya.

    Sumber: mStar