Pembinaan jalan sebelah tokong punca rusuhan!

POLIS menahan empat individu berusia antara 19 hingga 50 tahun dalam insiden tular melibatkan rusuhan berhampiran kawasan tokong di sekitar daerah Cheras.

Kejadian difahamkan berlaku susulan pembinaan penghadang bagi mewujudkan laluan ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar menyatakan, pihaknya berada di lokasi kejadian sewaktu pembinaan dijalankan sebelum berlakunya rusuhan.

“Semasa operasi dijalankan, lebih kurang 30 individu lelaki dan wanita membawa besi dan kayu.

“Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain turut menyerang anggota polis bertugas.

Polis dalam hal ini menafikan dakwaan cubaan merobohkan mana-mana tokong dalam kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 186 Kanun Keseksaan.

Video insiden itu telah ditularkan di media sosial bertujuan meraih simpati selain turut dieksploitasi.

Sementara itu, Muhammad Idzam menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menyebabkan kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan.