Pemandu wanita viral maki & carut pu*****, doa pemuda dijangkiti Covid-19 akhirnya buat permohonan maaf – “Jika saya betul, saya maafkan semua”

PEMANDU wanita yang videonya tular apabila dirakam mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pemandu lain dalam satu pertengkaran akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dikecam teruk netizen.

Individu yang dikenali sebagai Prof Madya Dr Bahariah Khalid itu membuat permohonan maaf menerusi akaun Instagramnya peribadinya.

“Jika saya salah, saya minta maaf. Jika saya betul, saya maafkan semua. Spread the positivity (sebarkan positiviti),” tulisnya pada satu posting yang dimuat naik lewat malam Rabu.

Permohonan maaf yang dibuat wanita berkenaan.

Posting yang dimuat naik wanita berkenaan memaparkan gambar bertulis perkataan ‘MAAF’.

Individu berkenaan menjadi perbualan netizen sejak Selasa selepas videonya mengeluarkan kata-kata makian kepada seorang pemandu lain menjadi tular di pelbagai laman sosial.

Video berdurasi lebih dua minit itu dimuat naik di akaun @Fadzmin memaparkan kereta yang dipandu pemuda tersebut hampir bertembung dengan kereta dipandu wanita tersebut yang kelihatan membuat pusingan U secara melulu.

Pemuda berkenaan kemudian membunyikan hon sebagai tanda tidak berpuas hati, namun tindakan tersebut mengundang rasa kurang senang pemandu wanita berkenaan lantas mengeluarkan kata-kata kurang enak.

Menerusi satu video berasingan yang dirakam penumpang keretanya, pemandu wanita dalam lingkungan pertengahan umur kelihatan hilang sabar dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika mereka masing-masing berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Dalam riak wajah marah, pemandu wanita berkenaan turut mendoakan agar pemuda berkenaan dijangkiti wabak Covid-19.

Tanggapan awal netizen menyatakan pemandu wanita berkenaan merupakan seorang doktor, namun sebaliknya dia adalah kakitangan sebuah universiti terkemuka di di Serdang

Kenyataan yang dikeluarkan pihak UPM

Majikannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi satu kenyataan pada petang Rabu melahirkan kekesalan ekoran sikap kakitangan mereka.

Dalam masa yang sama, Hospital Serdang tampil dengan satu kenyataan menafikan pemandu wanita berkenaan adalah doktor yang bertugas di hospital berkenaan mahupun kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumber: mstar