Pemandu Lori Ditahan Kerana Keluarkan Parang Ketika Bertengkar

Seorang pemandu lori ditahan kerana disyaki terlibat dalam pertengkaran menggunakan parang dalam kejadian di sebuah stesen minyak di hentian rehat dan rawat (R&R) Gurun Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memberitahu, pihaknya pada kira-kira pukul 10 pagi, semalam mengesan satu video yang viral di Facebook memaparkan dua lelaki bertengkar dengan salah seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah parang.

Katanya, semakan mendapati video itu diviralkan oleh pengguna Facebook bernama Eysz Seventhx.

“Siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek yang merupakan pemandu lori berusia 35 tahun dengan seorang lagi lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger kira-kira pukul 6.15 petang, 1 Julai lalu.

“Kejadian itu berlaku ketika pemandu lori terbabit sedang memandu keluar dari hentian Bukit Kobah, Pendang (Lebuh Raya Utara-Selatan) sebelum pemandu Ford Ranger itu membunyikan hon kepada suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo hari ini.

Menurutnya, perselisihan faham antara mereka berterusan sehingga ke sebuah stesen minyak tersebut kira-kira pukul 7.40 malam, hari sama.

“Suspek (pemandu lori) mendakwa telah diugut oleh pemandu Ford Ranger sebelum pemandu lori terbabit mengeluarkan sebilah parang yang disimpan di dalam lorinya,” ujarnya.

Katanya, suspek direman tiga hari bermula hari ini, manakala usaha mengesan pemandu Ford Ranger sedang dilakukan.

“Kita meminta saksi-saksi kejadian termasuk individu yang memviralkan video kejadian untuk menyalurkan maklumat kepada polis termasuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sabri Salamat di talian 014-6727927,” tambahnya.

Sumber : Kosmo