Paten trademark jenama Harimau Menangis belum diluluskan, belum jadi hak eksklusif ibu Neelofa – MyIPO

MASIH belum diluluskan. Ibu kepada Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed diminta tidak mendahului Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) dalam mendakwa jenama Harimau Menangis telah didaftar sebagai cap dagangan selain menjadi hak eksklusif beliau, lapor Kosmo!

Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, MyIPO menerima permohonan daripada Noor Kartini untuk mendaftarkan jenama Harimau Menangis baru diterima oleh MyIPO pada bulan November tahun lalu, dan ia masih lagi dalam peringkat pemeriksaan.

“Sehubungan itu, jenama Harimau Menangis yang dipohon oleh beliau belum lagi diluluskan dan belum menjadi hak eksklusif beliau.

“Permohonan beliau sama ada diluluskan ataupun tidak, bergantung kepada hasil pemeriksaan dan pertimbangan oleh MyIPO,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas isu jenama Harimau Menangis keluaran Noor Kartini menerusi syarikatnya Noor Khan Enterprise.

Ujarnya, MyIPO akan memproses permohonan beliau sepertimana biasa di mana sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Beliau menambah, cap dagangan bererti apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.

Dalam pada itu, Syarikat pengeluar produk daging Harimau Menangis Aunty Tini Kitchen, Noor Khan Enterprise menjelaskan pihaknya tidak menghalang mana-mana peniaga yang ingin menjual produk sama selagi tidak menyerupai bungkusan mereka.

Perkara tersebut dijelaskan oleh syarikat berkenaan menerusi satu kenyataan akhbar yang dimuat naik dalam Instagram @auntytinikitchen sebentar tadi.

Penjelasan tersebut dilakukan susulan isu tular tentang permohonan cap dagangan Harimau Menangis oleh pihaknya kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) baru-baru ini.

“Pihak kami ingin memaklumkan bahawa permohonan itu adalah untuk melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan perkataan Harimau Menangis pada bungkusan produk tersebut.

“Tindakan itu bertujuan untuk mengelakkan sebarang produk tiruan dalam pasaran yang boleh menyebabkan masalah kepada jenama pihak kami dan pengguna di luar sana,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, syarikat tersebut juga tidak menghalang sekiranya mana-mana pihak ingin menjual produk yang sama selagi tidak meniru bungkusan jenama mereka.

“Kami tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menjual produk yang sama selagi tidak menyerupai bungkusan produk yang kami pasarkan.

“Selain itu, pihak kami sentiasa mengamalkan polisi persaingan perniagaan yang sihat,” ujarnya.

Sementara itu, syarikat berkenaan turut memohon maaf susulan penularan sebuah video yang mendakwa pemilik bisnes tersebut iaitu Noor Kartini menghalang mana-mana pihak menggunakan nama yang sama.

“Pihak kami memohon maaf atas kesilapan kata-kata yang digunakan dalam kandungan video tular dalam media sosial pada malam 12 Januari 2021,” tulisnya lagi.

Terdahulu, keluarga selebriti terkenal, Neelofa sekali lagi menjadi buah mulut orang ramai selepas tular sekeping gambar yang memaparkan pendaftaran logo atau cap dagangan (trademark) Daging Harimau Menangis sejak semalam.

Foto yang dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter @pakeri_ itu memaparkan permohonan mempatenkan cap dagangan jenama Harimau Menangis yang diusahakan oleh Noor Kartini Noor Mohamed.

Sehingga kini, isu berkenaan masih lagi hangat diperdebatkan oleh netizen dalam media sosial yang turut mempersoalkan tindakan syarikat berkenaan.

Sumber: Kosmo!