POLIS England kini sedang ‘memburu’ seorang lelaki misteri yang membuat ramai pihak runsing apabila menghantar sampul berisi wang tunai secara rawak ke peti surat di kawasan kejiranan Frome, Somerset.
Menerusi laporan ladbible, pasukan keselamatan kejiranan tersebut enggan mendedahkan jumlah sebenar wang yang dihantar ke peti surat rumah kawasan tersebut namun mereka mahu bertemu individu tersebut bagi mendapatkan penjelasan tujuan utama dia berbuat demikian.
“Pasukan keselamatan kejiranan Frome telah menerima aduan tentang seorang lelaki yang telah menghantar sejumlah wang berserta surat ke peti surat kawasan kejiranan ini.
“Kami sangat berharap dapat bertemu individu tersebut untuk mengetahui alasan perlakuannya ini,” kata wakil kumpulan keselamatan tersebut.
Mereka juga meminta penduduk lain untuk melaporkan perkara ini kepada pihak polis jika mengalami perkara serupa.
Melalui laman Facebook, ada juga netizen yang memberi pendapat perkara ini sekadar perkara baik rawak yang cuba dilakukan suspek.
“Pasti ada seseorang akan laporkan perkara ini kepada pihak berkuasa, namun adakah perkara baik terlalu jarang berlaku ketika ini sehingga kita perlu berasa sedih dan risau?,” ujar seorang netizen.
“Melakukan perkara baik tidak semestinya perlu ditunjukkan, mungkin ada perkara lain yang anda perlu risaukan berbanding isu ini,” tambah seorang netizen.
Sumber: ladbible