Lelaki sanggup menyorok bawah gaun pengantin demi kelancaran majlis

APAKAH perasaan anda sebagai pengantin jika tiba-tiba ada lelaki lain menyelinap masuk ke dalam gaun?

Seorang lelaki di Filipina sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan majlis perkahwinan pasangan pengantin baru ini berjalan lancar.

Sebuah rakaman video yang dikongsi oleh Bro’s Vlog di Youtube meraih perhatian warganet apabila seorang perancang perkahwinan, Roel Lunesa menunjukkan dia keluar dari bawah gaun pengantin perempuan tersebut.

Katanya, dia bertindak seperti itu kerana ingin membantu wanita tersebut berjalan ketika upacara perkahwinan berlangsung.

Menurut Roel, dia terpaksa membantu pengantin itu berjalan disebabkan angin terlalu kencang ketika majlis tersebut berlangsung.

“Ketika majlis berlangsung pada 6 Jun lepas di Resort Louie Beach di Pinamungajan, angin kencang menyebabkan pengantin perempuan sukar untuk berjalan dan menyebabkan dia sentiasa terpijak atas gaun pengantinnya akibat angin”, katanya.

Melalui rakaman video berdurasi seminit 49 saat itu, pengantin perempuan dilihat terhenti beberapa kali bagi membetulkan gaunnya.

Sebelum tiba di hadapan paderi, lelaki itu dilihat keluar dari bawah gaun pengantin perempuan dan terus beredar.