Lelaki ditahan, pecah cermin kereta isteri, anak jadi trauma

SEORANG lelaki ditahan selepas berkasar dengan isterinya apabila memecahkan cermin kenderaannya dalam kejadian pada Isnin lalu.

Ketika kejadian, isteri berada di dalam kenderaan bersama dua lagi anaknya yang turut menyebabkan mereka trauma dengan kejadian tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir, mangsa telah membuat laporan pada hari yang sama.

Sebelum kejadian, suspek dikatakan mengekori kenderaan isterinya menaiki motosikal sebelum bertindak sedemikian.
“Suspek kemudian menahan kereta mangsa dan mengetuk cermin kereta bahagian hadapan sebelah penumpang beberapa kali, menyuruh mangsa membuka tingkap kereta.

“Suspek memberi alasan mahu memberi wang kepada anak mereka namun isterinya hanya membuka sedikit tingkap, menyebabkan suspek tiba-tiba merentap cermin kereta sehingga pecah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat perbuatan itu, serpihan kaca turut mengenai kedua-dua anaknya.

Tindakan mangsa bagaimanapun sempat merakam kejadian itu berikutan kawasan berkenaan tidak dilengkapi CCTV.

Suspek berusia 30 tahun itu telah direman sehingga 17 Disember bermula semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif.