Lelaki Bangladesh ceroboh masuk tadika timbulkan ketakutan guru dan murid

TINDAKAN seorang lelaki warga Bangladesh menceroboh masuk sebuah tadika di Telok Panglima Garang menimbulkan ketakutan kepada guru dan murid, Jumaat lalu.

Rakaman kejadian turut tular di laman sosial, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, lelaki berusia 23 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan sekitar kawasan Taman Pahlawan, di sini, jam 10.30 malam tadi, susulan laporan polis dibuat guru tadika berkenaan Jumaat lalu.

Menurutnya, semasa tangkapan dibuat, suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan hasil soal siasat awal mengesyaki lelaki itu mempunyai masalah kesihatan mental.

Rakaman kejadian yang tular.

“Suspek direman selama empat hari dan kini ditahan di lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3000, jika disabit kesalahan,” katanya tadi.

Sebelum ini tular di media sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai warga asing menceroboh masuk sebuah tadika di Telok Panglima Garang di sini.

Suspek bagaimanapun ditangkap dan dihalau beberapa lelaki dari dalam premis itu.

Sumber: Harian Metro