“Comeynya si bulus ni!” – Geng si Oyen tersangkut di atas pokok, lepas tu berpaut pulak di kaki hero ketika cuba diselamatkan

BUKAN si Oyen je yang suka buat hal. Baru-baru ini, viral di media sosial sebuah video menunjukkan seekor kucing putih berpaut di kaki seorang lelaki yang cuba menyelamatkannya daripada tersangkut di atas pokok, lapor portal The Reporter.

Memetik laporan asal Daily Mail, kucing itu tersangkut di antara celah dahan kecil pokok tersebut sebelum disedari oleh sekumpulan pelajar yang kemudian segera datang membantunya dalam kejadian yang berlaku pada 6 November lepas berhampiran sebuah universiti di timur China.

Kasihan melihat keadaan kucing itu, salah seorang pelajar lelaki dianggap sebagai hero apabila tampil memanjat pokok tersebut untuk menyelamatkan kucing itu, sementara rakan-rakannya yang lain membentang jaket untuk bersedia menyambut kucing tersebut.

Bagaimanapun, kucing itu masih dalam keadaan takut dan ketika lelaki itu cuba melepaskannya ke bawah, kucing itu serta merta terus berpaut di kaki kerana takut dengan ketinggian itu.

Lelaki itu cuba mengoyangkan kakinya agar kucing itu melompat ke bawah, tetapi si bulus itu masih enggan bergerak dan memeluk kakinya dengan ketat.

Sekali lagi lelaki itu mengangkat kucing tersebut dan akhirnya berjaya melepaskannya ke bawah sebelum sempat tangannya dicakar dan selamat disambut oleh rakan-rakannya.

Netizen di China terhibur dengan gelagat kucing itu dan video tersebut telah ditonton lebih sejuta kali sejak dimuat naik di laman sosial Weibo.

“Cara kucing tu berpaut di kaki lelaki tu comel sangat. Mujur ada budak-budak student ni yang baik hati,” kata netizen.

Sumber: The Reporter