Kuasa viral! Pemilik nombor kenderaan fancy (KAYR4) serah diri

TIDAK dapat dinafikan, kuasa viral dalam zaman ketika ini dapat mengatasi sesuatu isu dengan lebih pantas tidak kira sama ada perkara kecil mahu pun besar.

Hanya dengan rakaman pendek berdurasi 11 saat, pemilik kenderaan mewah jenis BMW yang dikatakan menggunakan nombor pendaftaran ‘Fancy’ akhirnya menyerah diri kepada polis sebaik sahaja ia tular.

Menerusi video berkenaan, kenderaan itu terpapar dengan nombor pendaftaran ‘KAYR4’.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, pemilik kenderaan tersebut telah tampil ke balai trafik bagi tujuan siasatan.

“Pada jam lebih kurang 2.45 petang, pemandu kenderaan tersebut telah hadir ke Balai Trafik, Jalan Bandar bagi tujuan siasatan.

“Hasil dari siasatan, pemandu kenderaan tersebut yang merupakan seorang wanita berumur 32 tahun telah membuat pengakuan bahawa kenderaan yang tular adalah miliknya.

“Saman di atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi telah dikeluarkan dan pemandu telah menukar semula ke nombor pendaftaran yang asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Polis Trafik Kuala Lumpur menegaskan agar sentiasa peka dengan undang-undang di jalan raya dan tidak melakukan perkara yang secara terang-terangan melanggar penguatkuasaan undang-undang.