Home Viral Khuatir alat sulit anak cacat kekal angkara bengkak bernanah lepas berkhatan guna...

Khuatir alat sulit anak cacat kekal angkara bengkak bernanah lepas berkhatan guna kaedah ‘klamp’, ibu tuntut doktor klinik bertanggung jawab

IBU kepada empat anak yang kesal alat sulit anaknya bengkak selepas dikhatan di sebuah klinik kini meminta pihak berkenaan bertanggung jawab, lapor The Reporter.

Memetik laporan asal Harian Metro, Rosnah Musa, 35, dari Taman Seri Melur, Ayer Tawar, Perak, berkata, anaknya, Muhammad Adly Hadi Adzrul Effendi, 8, mengalami bengkak yang serius di bahagian alat sulitnya dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Ipoh sejak 18 Disember 2020.

Difahamkan, Adly sebelum itu berkhatan menggunakan kaedah ‘klamp’ di sebuah klinik swasta di Seri Manjung pada 13 Disember 2020. Pada hari pertama dan kedua, alat sulit Adly didapati berubah saiznya kepada lebih pendek berbanding asal, selain kepala zakarnya senget ke kiri.

Adly juga kerap mengadu sakit, berasa takut dan menangis ketika mahu membuang air kecil membuatkan Rosnah dan suaminya risau tetapi masih bersangka baik.

Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila Rosnah mendapati alat sulit anaknya bengkak dan berdarah pada malam ketiga selepas klip tersebut ditanggalkan pada pagi 16 Disember di klinik tersebut. Doktor kemudian memberi ubat tetapi alat sulit Adly tidak menunjukkan perubahan positif, sebaliknya ia menjadi semakin bengkak dan bernanah.

Melihat keadaan itu dan alat sulit Adly semakin tenggelam, pasangan itu terus membawa anak mereka ke Hospital Seri Manjung untuk menjalani pemeriksaan.

Doktor mendapati alat sulit Adly tenggelam dan bahagian kulit habis dipotong. Doktor terpaksa membius Adly bagi membolehkannya membersihkan darah beku pada keesokan hari, 17 Disember 2020.

Memandangkan luka yang dialami tidak sembuh, Adly dipindahkan ke Hospital Ipoh untuk pembedahan menampak kulit alat sulitnya. Pasangan itu difahamkan, walaupun alat sulit anaknya sembuh, Adly mungkin perlu menjalani pembedahan dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi.

“Satu lagi kemungkinan adalah alat sulitnya cacat kekal dan sudah tentu kami bimbang memikirkan masa depannya apabila dewasa nanti. Kami sudah pergi bersemuka dengan doktor berkenaan, namun dia hanya berdiam tanpa memberi alasan dan jawapan menyakinkan,” kata Rosnah.

Pada masa ini, Adly katanya masih trauma dan akan menjalani satu lagi pembedahan. Bapa Adly juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Sitiawan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Insiden yang menimpa Adly itu dimuat naik di Facebook. Rosnah berkata, dia tidak berniat untuk memburukkan mana-mana pihak tetapi hanya sekadar meluahkan rasa kekesalannya dan berharap apa yang berlaku pada Adly menjadi pengajaran kepada semua terutamanya golongan ibu bapa agar berhati-hati.

Sumber: The Reporter

Exit mobile version