Kesungguhan Radhi OAG bantu tolak kereta rosak dalam panas terik

VIRAL mengenai penyanyi Radhi OAG, membantu menolak kereta seorang pengguna media sosial yang rosak di tengah jalan. 

Video berdurasi dua minit yang dimuat naik di laman DashCam Owners Malaysia pada Ahad lalu, memaparkan Radhi berlari di bahu jalan selepas melihat kereta berkenaan tidak bergerak.

Menerusi video bertarikh 21 Mac itu, turut kedengaran suara Radhi yang bersungguh mahu membantu menolak kereta tersebut.

Seorang budak lelaki berpakaian sekolah dipercayai anak Radhi diletakkan di atas bonet sebelum dia bergerak menolak kereta itu ke bahu jalan, lapor Sinar Harian. 

Pemilik kereta berkenaan terharu atas sikap pemurah Radhi yang mahu menolongnya meskipun dalam keadaan panas terik.

“Semoga ALLAH membalas jasamu dengan kebaikan dan memberi ganjaran dengan balasan terbaik.Terima kasih Radhi OAG,” kata pemilik kereta berkenaan.

Menurut Sinar Harian, setakat jam 5.30 petang pada Ahad, video itu mendapat 1,600 tontonan dengan 291 komen dan dikongsi 351 pengguna Facebook.

Sumber gambar – ciknibqgq18 (Tiktok) | Sumber laporan – Sinar Harian