Kenderaan Timbalan Menteri langgar undang-undang lalu lintas tular

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sahkan menerima laporan berhubung kenderaan Timbalan Menteri yang dikatakan melanggar undang-undang lalu lintas yang berlaku di Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kelantan, Supt Suhaimi Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan berikutan video insiden terbabit yang tular di media sosial.

“Melalui rakaman video tersebut terdapat sebuah kenderaan motokar jenis Toyota Alphard warna hitam dengan nombor pendaftaran P45 telah memotong kenderaan di hadapannya di garisan berkembar secara merbahaya.

“Ketika itu terdapat kenderaan lain di atas jalan tersebut yang datang dari arah bertentangan di Jalan Bukit Marak – Binjai berdekatan jambatan sebelum lampu isyarat Chabang 3 Gong Dermin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Video yang tular berdurasi 38 saat itu memaparkan kenderaan tersebut memotong kenderaan lain dalam keadaan merbahaya selain mendapat kecaman hebat pengguna media sosial.

Setakat ini, masih belum terdapat sebarang penjelasan berhubung insiden kenderaan terbabit sama ada terdapat Timbalan Menteri yang dimaksudkan di dalam kenderaan tersebut atau sebaliknya.

Menurut Suhaimi Jusoh, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.