Kedai motor nak taja motor tapi ditolak rider Foodpanda, rupanya…

TERDAHULU, tular gambar mengenai seorang penghantar makanan Foodpanda yang gagah mengayuh basikal di bawah panas terik di Kota Bharu.

Disebabkan keprihatinan warganet, ramai tersentuh melihat situasi tersebut dan ada pihak yang menawarkan pelbagai bantuan kepada pemuda berkenaa termasuklah bantuan untuk membelikan sebuah motosikal.

Difahamkan, sebuah kedai jualan motosikal, Motor Lian Soon membuat satu perkongsian umum menerusi Facebook ingin menyumbangkan sebuah motosikal baharu.

Perkongsian itu menerima reaksi positif daripada warganet dan ramai pihak memuji usaha murni pemilik kedai untuk membantu penghantar makanan yang dalam kesusahan ini.

Ianya sekaligus menunjukkan sifat simpati dan empati rakyat Malaysia masih tebal dalam diri, paling penting ia tidak mengira nama bangsa, bahasa mahupun agama.

Namun, penghantar makanan ini mendakwa dia belum memerlukan sebarang motosikal baharu lagi buat masa ini.

Ini kerana dia sudah pun mempunyai motosikal sendiri, antara alasan dia menghantar makanan menaiki basikal adalah kerana kouta untuk penghantar makanan bermotosikal Foodpanda bagi kawasannya sudah penuh.

Jadi pilihan lain yang ada untuk dia mencari rezeki adalah memilih platform kedua, iaitu berbasikal demi membantu keluarganya walaupun ianya cukup memenatkan.

Walaupun tidak memerlukannya buat masa ini, penghantar makanan ini sangat berterima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan mereka. 

Semoga penghantar makanan ini dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan semuanya.