Kanvas lori melayang, penunggang motosikal hampir digilis

AKIBAT kanvas yang tidak diikat kemas pada sebuah lori, seorang penunggang motosikal nyaris digilis apabila ia terbang mengenai penunggang tersebut.

Keadaan itu menyebabkan penglihatan mangsa terhalang sebelum hilang kawalan melanggar bahagian sisi sebuah treler.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, insiden tular itu berlaku semalam di sekitar Cyberjaya menghala ke Kajang.

Video kejadian yang tular di laman sosial.


“Kanvas dari lori itu tercabut dan terbang mengenai penunggang dan pembonceng motosikal yang berada di belakang lori tersebut.

“Keadaan itu mengakibatkan penglihatan penunggang terhalang dan mangsa hilang kawalan terlanggar sisi kanan sebuah treler yang berada di lorong sebelah kiri dan terjatuh di atas jalan raya.

Insiden yang berlaku pada jam 11 pagi itu tular menerusi perkongsian di facebook.

Setakat ini, polis sedang mengenal pasti nombor pendaftaran kesemua kenderaan terlibat.

Menurutnya, tiada sebarang laporan polis diterima sehingga kini.

Polis akan cuba mendapatkan pemilik video dashcam tersebut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut seksyen 42 akta pengangkutan jalan 1987.