Kantoi! Ada individu tawar servis jual sijil digital vaksinasi MySejahtera palsu dengan harga RM2,500

HANYA kerana enggan menerima dos suntikan vaksin, ada segelintir rakyat Malaysia sanggup membayar sehingga RM2,500 untuk mendapatkan sijil vaksinasi digital palsu.

Perkara tidak bertanggungjawab itu terdedah apabila seorang pengguna laman Twitter dengan nama LaFareast mendedahkan wujud individu yang menawarkan servis penjualan sijil digital vaksinasi Covid-19 MySejahtera.

Menerusi tangkap layar yang dikongsi, individu tidak bertanggungjawab tersebut dipercayai melayan seorang pelanggan berminat dengan servis sijil palsu tersebut.

Malah, sijil vaksinasi yang bakal dikeluarkan didakwa boleh digunakan di mana-mana sahaja dan akan di kemas kini mengikut dos yang disarankan oleh Kerajaan.

Pendedahan yang dibuat seorang pengguna Twitter.

“Boleh digunakan di semua tempat dan selamat jika ada pemeriksaan penguatkuasa.

“Update akan dibuat sehingga dos yang disyorkan, RM2,500 seorang,” tulis individu yang menawarkan servis tersebut.

Pendedahan tersebut pantas mengundang rasa kurang masyarakat.

Rata-rata juga meninggalkan komen yang membidas servis yang disediakan.

“Semua boleh dibeli asalkan mampu bagi bayaran duit seperti yang diminta kan,” tulis Natalia Ong.

“RM2,500, padahal vaksin itu percuma. Maka betullah, anti vaksin ni bebal,” tulis Anis Adnan.

Lebih merisaukan, selain segala maklumat dirahsiakan, bakal pelanggan juga boleh dikatakan bakal mendapat tawaran harga lebih murah jika mendaftar secara pukal.