Ibu lari ikut kekasih baru, bapa ‘heret’ dua anak jalan kaki 100 kilometer untuk cari kerja

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu kisah seorang bapa di Thailand yang tular apabila terpaksa membawa dua anaknya berjalan kaki  untuk mencari pekerjaan di sebuah tapak pembinaan selepas isterinya dipercayai lari mengikut lelaki lain, lapor Kosmo!

Kejadian menyayat hati itu dibongkar seorang pengguna Facebook, Pak Rattaphim yang bertembung dengan tiga beranak tersebut di tepi sebatang  jalan di wilayah Nakhon Ratchasima ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Menurut Ratthaphim, bapa itu memberitahu bahawa mereka sudah berjalan hampir 100 kilometer bagi mencari pekerjaan.

“Saya terserempak dengan seorang bapa yang memimpin dua anaknya untuk mencari pekerjaan di tepi jalan di Bak Tham.

“Saya tidak sampai hati melihat mereka dan menumpangkan keluarga ini hingga ke Korat. Saya memberikan sedikit wang belanja dan berpesan kepada lelaki itu untuk menjaga anak-anaknya dengan baik,” tulis Ratthaphim.

Tambahnya, lelaki itu memberitahu bahawa dia terpaksa ‘mengheret’ dua anaknya bersama kerana ibu mereka nekad meninggalkan keluarga itu demi kekasih baharu.

“Selagi kita boleh bantu, kita bantu. Saya harap bapa ini terus kuat dan berjaya membesarkan anak-anaknya,” katanya lagi.

Sumber: Kosmo!