Hampir digilis, penunggang motosikal ibarat diberi peluang kedua

SEORANG penunggang motosikal hampir menemui ajal apabila dirempuh sebuah treler dari arah belakang di stesen minyak di Bandar Sultan Suleiman, Klang semalam. 

Video tular itu dikatakan berlaku sekitar jam 8.30 pagi. 

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, treler berkenaan dipandu seorang wanita berumur 35 tahun. 

“Pemandu wanita itu sedang membuat pusingan U di dalam kawasan stesen minyak, sebelum melanggar mangsa yang sedang mengisi angin tayar motosikalnya. 

Akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah terjatuh dan hampir digilis lori berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan. 

Setakat ini, kes masih dalam peringkat siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

Katanya, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun mengalami luka pada tangan dan sakit bahagian kaki serta badan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Pada Rabu, video tular berdurasi 23 saat itu memaparkan seorang pemuda sedang mengisi angin tayar motosikalnya. 

Secara tiba-tiba sebuah treler yang berada tidak jauh di belakangnya bergerak dan membelok sebelum melanggar belakang badan mangsa. 

Mangsa yang sedang duduk mengisi angin tayar bagaimanapun sempat bangun sebaik kaki kanannya hampir digilis treler berkenaan. 

Exit mobile version