Halang laluan, makcik nekad rempuh kenderaan

ISU kesesakan parkir kenderaan bukan lagi perkara yang asing di negara ini.

Keadaan itu sering kali dilihat apabila wujud sesetengah individu yang meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.

Baru-baru ini tular tindakan seorang wanita warga emas yang bertindak melanggar kenderaan lain kerana menghalang laluannya untuk keluar daripada parkir.

Video tular di TikTok itu menyaksikan wanita berkenaan yang memandu Honda HRV terpaksa merempuh Perodua Axia yang dikatakan menghalang laluan.

Video yang tular di laman TikTok.


Menurut perkongsian pengguna akaun TikTok, kejadian difahamkan berlaku di Medan Selera di Seksyen 2 Shah Alam.

Lokasi berkenaan juga bukan lagi tempat yang asing untuk orang ramai menikmati hidangan mereka.

Apatah lagi faktor laluan kenderaan yang boleh dikatakan sesak khususnya melibatkan golongan penuntut universiti.

Rata-rata ramai mengecam pemandu Perodua Axia tersebut yang tidak bertimbang rasa kerana double-park di kawasan orang ramai sehingga menyebabkan kesukaran kepada pengguna yang meletakkan kenderaan di kawasan itu.

Tidak kurang juga ada yang berkongsi pengalaman terpaksa menghubungi majlis perbandaran untuk mengangkut kenderaan lain yang menghalang jalan hampir 30 minit sehingga mengganggu urusan orang lain.