“Susah Sangat Kita Jela Kahwin” Gurauan di DM Instagram membawa ke jenjang pelamin

    BENAR kata orang, ajal maut serta jodoh, semuanya ketentuan Allah Yang Maha Esa.

    Jika sudah ditakdirkan oleh Tuhan untuk kita bersama dia, maka tiada sesiapa yang boleh menghalang ia daripada terjadi.

    Apa yang pasti, jodoh tidak mengenal siapa. Andai seseorang itu sudah ditentukan oleh Allah untuk kita, pastinya akan bersatu juga dengan dirinya walau kadangkala ia hadir dengan cara yang tidak terjangka.

    Seperti mana perkongsian oleh seorang gadis yang viral di Twitter dan mendapat perhatian ribuan netizen baru-baru ini. Nampak gayanya pasti ramai yang tersenyum sendiri dengan kisah cinta pasangan ini.

    Manakan tidak, siapa sangka hanya dengan sekadar gurauan ajakan untuk berkahwin oleh suami di ruangan Direct Message (DM) di Instagram, mereka akhirnya mengikat tali pernikahan pada tarikh istimewa 10/10/2020, baru-baru ini.

    SEGALA-GALANYA bermula dengan gurauan di DM Instagram.

    Menurut wanita itu yang dikenali sebagai Dinie, dia dan suami mengenali satu sama lain sejak belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) tetapi tidak pernah bertegur sapa. Sehabisnya pengajian, suaminya mula memberanikan diri untuk menghantar DM di Instagram sebelum mengajaknya untuk berkahwin.

    Rata-rata netizen yang membanjiri ruangan komen turut ‘terkejut’ dengan jodoh pasangan itu yang dikatakan semudah ABC.

    PASANGAN mempelai ini selamat diijab kabulkan pada 10 Oktober lepas.

    Namun, sebenarnya menurut Dinie, permulaannya memang mudah tetapi mereka juga seperti pasangan lain yang menghadapi onak dan duri sepanjang perhubungan.

    Selamat pengantin baru diucapkan buat Dinie dan suami, semoga berbahagia hingga ke akhir hayat. Bagi sesiapa yang masih belum berjumpa pasangan sehidup semati mungkin boleh guna cara ini, siapa tahu mungkin ada jodoh anda di luar sana?

    Sumber: Siakap Keli