Guna cara kreatif ‘koyakkan’ Israel di media sosial, tentera ‘bawang’ dan ‘K-Pop stan’ lancar #VisitIsrael

ISU mengenai keganasan pihak Zionis terhadap Palestin masih lagi menjadi perhatian ramai pihak. Malaysia juga antara salah satu negara yang menyokong dan mendoakan kesejahteraan Palestin agar mereka merdeka dari kezaliman tentera Israel.

Sehubungan itu, melalui ciapan di Twitter oleh pengguna @AdDien90, dia berkongsi mengenai satu taktik terbaru yang akan dirancang oleh warganet. Menurutnya yang memuat naik gambar tangkap layar, ramai berpendapat jika menggunakan #israHell atau #IHateIsrael tidak akan ada yang akan tertarik dengan perkongsian tersebut.

Oleh sebab itu, ada yang mencadangkan orang ramai untuk menggunakan #ILoveIsrael, #ImWithIsrael dan #VisitIsrael tetapi disertakan dengan visual seperti gambar atau video yang menunjukkan keganasan sebenar pihak Israel.

Apa yang menarik, ini meupakan cara kreatif bagi mencari perhatian banyak pihak utamanya rakyat Israel sendiri. Dalam pada itu, ada juga yang meminta para “tentera bawang” dan juga peminat K-Pop untuk melakukan sebanyak mungkin penggunaan hashtag tersebut.

Sementelahan, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut tertarik dengan cara unik yang digunakan oleh “tentera bawang” dan peminat K-Pop.

Katanya melalui ciapan di Twitter, “Respek pada @AdDien90, tentera bawang dan Kpop army… tahap kreatif mereka dalam perjuangan digital di luar jangkaan generasi X seperti saya”.

“Mungkin saya patut dengar lagu BTS atau tonton K-Drama? Lagu mana yang saya patut dengar dulu?”, jelasnya lagi.

Carian tersebut telah pun trending di Twitter dan apa pun, pujian patut diberikan kepada kegigihan “tentera bawang” dan peminat K-Pop dalam menentang keganasan tentera Israel.