Dua minggu melarikan diri, suspek hempuk staf stesen minyak dengan helmet sudah dicekup

SELEPAS dua minggu melarikan diri, lelaki yang memukul seorang pekerja stesen minyak dengan helmet di Taman Sri Cempedak, Kuala Klawang, Negeri Sembilan dalam kejadian 19 Disember lalu, akhirnya ditahan polis semalam, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Klawang pada 4.30 petang semalam.

Beliau berkata, polis telah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Jelebu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis mencari suspek terbabit selepas memukul pekerja berusia 20 tahun itu sehingga mendatangkan kecederaan.

Maslan berkata, suspek datang ke stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak motosikal pada 4.30 petang 19 Disember lalu.

“Berlaku sedikit tumpahan selepas mangsa mengisi minyak motosikal suspek menyebabkan lelaki terbabit memarahi mangsa sebelum membaling duit kepada mangsa.

“Mangsa yang mengeluh dengan tindakan suspek mengutip duit di atas lantai dan beredar dari pam untuk berehat, namun suspek kemudian memukul mangsa dengan topi keledar miliknya,” katanya.

Sumber: Harian Metro