Doktor gigi di Jepun pakai kostum pembantu rumah semasa buat rawatan, didakwa mampu tenangkan pesakit

Doktor gigi di Jepun pakai kostum pembantu rumah semasa buat rawatan, didakwa mampu tenangkan pesakit
FOTO: https://soranews24.com/2022/06/15/akiba-dental-clinic-the-akihabara-dentist-where-a-moe-maid-in-cosplay-cleans-your-teeth/amp/

SEBUAH klinik pergigian di Jepun mengambil pendekatan kreatif dengan menampilkan kakitangan mereka memakai kostum pembantu rumah bagi mengurangkan ketakutan pesakit.

Kostum sedemikian juga sering dipaparkan dalam komik serta animasi yang dihasilkan di Negara Matahari Terbit itu, lapor Kosmo.

Bagaimanapun menurut doktor gigi dan pengarah Akiba Dental Clinic di Tokyo, Dr. Joji Yukawa, mereka tetap mengenakan cas sama terhadap pesakit yang mendapatkan rawatan.

Bezanya pesakit dapat mengatasi rasa takut semasa mendapatkan rawatan.

“Saya berpendapat bahawa terdapat ramai orang takut untuk berjumpa doktor gigi sehingga ada yang fobia berkaitan masalah pergigian.

“Jadi, saya berasakan pesakit boleh membina hubungan baik dengan kakitangan klinik kami. Satu perkara yang baik sekiranya pesakit dapat berjumpa dengan doktor gigi yang bukan sahaja memeriksa gigi mereka, bahkan yang boleh berbual bersama,” ujarnya.

Selain itu, klinik pergigian itu turut menawarkan perkhidmatan pemutihan gigi, rawatan kaviti dan pembersihan gigi.

Lebih menarik, Dr. Joji Yukawa mendedahkan mereka sedang mempertimbangkan bagi menawarkan perkhidmatan khusus, di mana pesakit boleh sekadar mengunjungi klinik untuk berbual dengan kakitangan yang memakai uniform pembantu rumah.

“Jika pesakit hanya ingin berbual, ia adalah sesuatu yang tidak dilakukan oleh doktor gigi biasa, jadi, saya belum membuat keputusan mengenai perkara itu,” jelasnya.

Sumber: Kosmo, Soranews24