Dibayar RM386 untuk tak buat apa-apa

DALAM keadaan ekonomi dunia yang dalam tempoh pemulihan pada ketika ini, ramai yang bergelut untuk mencari rezeki.

Dengan penutupan beberapa sektor penting seperti pelancongan, pastinya sukar untuk mencari pekerjaan.

Namun, tahukah anda bahawa tidak membuat apa-apa pun boleh menjadi sumber pendapatan, lapor Siakap Keli.

Memetik laporan asal portal South China Morning Post, pekerjaan ‘sewa orang yang tidak melakukan apa-apa’ itu dilakukan oleh seorang lelaki dari Jepun yang berusia 37 tahun.

Morimoto Shoji menjelaskan bahawa orang ramai boleh menyewa dirinya untuk tidak melakukan apa-apa selain dari makan dan minum.

“Saya akan berikan jawapan yang simple sahaja jika ditanya apa-apa, selain daripada itu, saya hanya menawarkan perkhidmatan tidak melakukan apa-apa,” katanya.

Menurut laporan South China Morning Post, pelanggan-pelanggan Shoji hanya memerlukan peneman dan tempat untuk meluahkan perasaan.

Dia mengenakan bayaran sebanyak 10,000 yen (RM386), ditambah dengan kos perjalanan.

Lelaki itu juga pernah mendapat perhatian netizen di Twitter pada 2018 apabila memuatnaik ciapan yang menawarkan dirinya untuk disewa.

Sumber: South China Morning Post