Home Viral Demi ‘content’ TikTok, remaja kantoi terakam CCTV tuang sabun dalam kolam pusat...

Demi ‘content’ TikTok, remaja kantoi terakam CCTV tuang sabun dalam kolam pusat beli-belah

HANYA demi meraih tontonan tinggi di aplikasi TikTok, sekumpulan remaja dipercayai menuangkan cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan sebuah pusat membeli-belah di Kluang, Johor.

Bagaimanapun aksi kumpulan remaja bermotosikal itu mengundang padah selepas pihak pengurusan pusat beli-belah mengesan perbuatan mereka menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, susulan laporan, lapan remaja lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan dengan tiga daripadanya masih bersekolah.

https://thenews.com.my/wp-content/uploads/2022/03/video_1061794544400621.mp4
Video kejadian yang berjaya dirakam CCTV.

“Kira-kira jam 4 petang semalam, polis mengesan rakaman video tular berdurasi 55 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook (FB) memaparkan tingkah laku penunggang motosikal membuat khianat terhadap harta di pusat beli-belah itu.

“Kejadian dipercayai berlaku pada Ahad lalu jam 5.30 pagi dan susulan rakaman video itu, polis mengenalpasti semua suspek.

“Mereka ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sri Lalang jam 9.30 malam tadi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, hasil ujian urin terhadap semua suspek mendapati mereka negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap harta.

“Polis mengingatkan perbuatan vandalisme atau membinasakan harta benda awam dan harta benda orang lain boleh diambil tindakan undang-undang.

“Mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kompromi,” katanya.

Terdahulu, melalui hantaran di FB, Badan Pengurusan Bersama Kluang Parade meminta suspek tampil bertanggungjawab sebelum perkara itu dibawa ke pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Video kejadian turut tersebar luas di laman media sosial.

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version